Friday, 21 December 2012

Prolog


Air mata Ayuni mengalir tanpa henti. Hatinya yang sudah lama terhiris itu membengkak dan bernanah! Tidak tertahan lagi dirasakannya, bagaikan ada duri-duri yang menyucuk-nyucuk di kalbunya. Esakan dan sedu-sedannya bagaikan seorang anak kecil di dalam keadaan belas kerana di tinggalkan ibu.


"Sudahlah sayang, abang tahu Ayu menderita, makan hati. Sabarlah, dia orang tua..."


"Ya, sebab dia orang tualah, kita kena sentiasa hormat, kena sentiasa berbekam di hati ini, sabar dan sabar. Memang susah untuk Ayu katakan, cakap lebih-lebih kan, itu emak abang"

Ayuni bagaikan tiada siapa lagi di sisinya yang benar-benar faham akan jiwanya saat itu. Hanya sebuah diari peribadi menjadi tempat untuknya menumpahkan rasa sedih. Menulis dan menulis! Tidak tahu sampai bila. Kepada Allah dia mengadu dan berdoa. Adakah lagi secebis harapan yang masih tersisa, ingin sekali dikecap manisnya. Kehidupan berumah-tangga yang terbina di atas landasan cinta itu benar-benar robek.

"Ayu nak jugak hidup bahagia dan bergelak ketawa seperti orang lain, menjadi menantu kesayangan mertua. Apa yang tidak kena pada Ayu ni bang? Apa dosa Ayu?"

"Syy...janganlah begini sayang, abang rasa serba-salahlah, ditelan mati emak diluah mati isteri" Shahrul Nizam cuba sedaya upaya untuk menenangkan perasaan hiba isteri tercinta. 

Betapa dalamnya kasih sayang Shahrul Nizam terhadap Ayuni hanyalah bergalang-gantikan dengan nyawanya sendiri. Dia tidak sanggup untuk melihat isteri kesayangannya menjeruk rasa. Dia benar-benar kesal kerana tidak dapat memberi kebahagiaan kepada isterinya. Sepatutnya Shahrul Nizam menyediakan sebuah istana yang indah buat Ayuni, demi membuktikan kasih dan cintanya itu. Dia mampu untuk tinggal berdua, tetapi dia tidak sanggup untuk meninggalkan ibunya keseorangan di rumah pusaka itu. Cinta kepada isteri adalah cinta luhur yang tersemat utuh di dalam kalbunya, tetapi kasih kepada seorang ibu akan membawa mereka berdua ke syurga yang kekal abadi.

"Kenapa mesti begini, kerana kita ni menumpang, kerana kita ni orang susahkah bang?"

"Abang faham, abang pun terasa juga, sejak akhir-akhir ini lain benar layanan adik beradik abang, sabarlah sayang"

"Kecik benar Ayu di mata mak abang tu, sehinggakan apa yang Ayu buat dan ucapkan dia tidak pernah nampak dan dengar"

"Tidak apalah Ayu, mereka semua tidak faham apa niat kita, kalau abang nak bawa Ayu keluar dari sini pun, abang mampu. Setakat untuk kita tinggal berdua, ada saja di mana-mana tempat tinggal untuk di sewa. Kitakan sudah berjanji bersama-sama untuk menjaga emak sehingga akhir nyawa kita. Itulah sahaja pengorbanan yang sepatutnya kita lakukan untuk emak"

Ayuni berhenti menangis, kata-kata suaminya itu membuatkan hatinya semakin reda. Kemaafan demi kemaafan sering ditaburnya saban hari, namun luka itu tetap juga berbekas di hatinya. Selama ini Ayuni menghormati dan menyanjungi ibu mertuanya yang kelihatan tersangat baik. Tubuh badannya yang kecil, sebaya dengan kanak-kanak darjah lima itu, membuatkan Ayuni terasa belas dan kasihan. Badannya yang kurus dan rendah itu rupa-rupanya tersangat tinggi nafsu dan egonya. Kekuatan fizikalnya mengalahkan ketangkasan Ayuni menguruskan hal-hal rumah tangga. Semua dia mahu membuatnya, walaupun usianya sudah lanjut benar. Allah masih memberikan kekuatan hasrat untuk melakukan yang terbaik dari segi luarannya. Sebab itulah semua saudara mara akan melihat dia sebagai seorang wanita yang bersemangat kuat kerana masih larat untuk membuat kerja-kerja di dapur tanpa ada rehat di waktu siang.

"Ayu isteri abang ni, manja. Macamni, sayang buat-buat tidak tahu saja, emak tu dah sering sangat pelupa. Kadang-kadang dia tidak sedar pun apa yang dia buat dan cakapkan"

"Yalah bang, dia selalu begitu, tengah buat ini fikir yang itu, yang paling Ayu geram setiap hari dia tanya itu barang apa? Benda ni nak makan lagi kah? Rimas Ayu. Tidak selesa bila Ayu masuk ke dapur"

"Ala benda tu kecik saja"

"Kecik abang kata, sampaikan dia sanggup meninggikan suara dan berkata begitu? Ayu ni cuma menantu  bang, menumpang di rumah ini saja, ingatkan dapatlah menumpang kasih seorang ibu, tetapi..." kata-kata Ayuni mati di situ. Di wajahnya ada riak kesal dan sugul.

Tengahari tadi, sedang Shahrul Nizam hendak makan hidangan tengahari, lalu dia pun bertanya kepada Ayuni, "Lauk masak lemak telur itik dengan belimbing buluh semalam tu dah habis ke?"

"Tanyalah mak"

"La, mak dah buang dah ke? Nizam baru makan sekali semalam, naklah ulang lagi tengahari ni, lauk tu kegemaran Nizamlah mak. Lain kali janganlah buang"

"Ala dah cukuplah, kalau mak dah tak mahu makan dah"

Kalau masakan yang Ayuni masak, tidak sampai 24 jam mak mertuanya akan membuangnya. Tidak tahu kenapa. Naik rimas apabila memikirkan sikap buruk dan cerewet emak mertuanya yang semakin menjadi-jadi itu.

"Kalau mak tak mahu makan, kami ni nak makan lagi. Bukannya sudah basi mak, elok lagi tu buat apa mak buang, lain kali tanyalah kami dulu"

"Ya, mak akan tanya dulu, mak dah faham dah, dah faham segala-galanya! Hah!" kata ibu mertuanya dengan suara yang lantang.

Ayuni meninggalkan suaminya di meja makan itu lalu berlari masuk ke dalam biliknya dan berkurung. Sampai ke malam, Ayuni tidak turun untuk makan. Dia lebih rela berlapar daripada menelan makanan yang terasa bagaikan kaca yang berduri itu. Sehinggalah suaminya datang memujuknya.







No comments: